JDT terus gah di puncak

Muniz (kanan), berjaya melepasi kawalan pertahanan TFC sebelum merembat gol tunggal perlawanan pada minit ke-12. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Muniz (kanan), berjaya melepasi kawalan pertahanan TFC sebelum merembat gol tunggal perlawanan pada minit ke-12. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT), terus gah di persada Liga Super biarpun sekadar mencatatkan kemenangan 1-0 ketika berdepan Terengganu FC (TFC), di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada Sabtu.

Menurut pengendali skuad Harimau Selatan Hector Bidoglio, kemenangan itu nyata melegakan dalam usaha untuk terus mendominasi trofi Liga Super yang dimenangi sejak sedekad lalu.

“Seperti anda semua tahu, ia satu perlawanan yang sukar dan walaupun kami beraksi dalam hujan, namun keadaan padang tidak menjejaskan permainan dan pemain masih mampu mempamerkan aksi terbaik masing-masing.

“Malah, kesemua pemain turut dilihat beraksi bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan itu.

“Apa pun, piala ini (Liga Super) penting buat kami dan semua pemain dilihat bersemangat untuk terus mempertahankannya,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi berkenaan, JDT menang hasil jaringan pemain import Juan Muniz pada minit ke-12.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus menerajui takhta Liga Super ketika ini dengan 52 mata hasil 17 kemenangan dan seri sekali daripada 18 perlawanan.

TFC pula berada pada kedudukan keempat dengan 24 mata hasil enam kemenangan, tewas enam kali dan enam kali seri daripada 16 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Bidoglio berkata, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh skuad kendaliannya itu bagi mengharungi baki perlawanan musim ini.

Bagaimanapun, dengan barisan pemain sedia ada, Bidoglio yakin lebih banyak kejayaan mampu dilakar bagi menamatkan saingan musim ini.

“Kami mempunyai skuad yang besar dan ramai pemain bagus.

“Namun kami masih perlu terus mempertingkatkan mutu permainan kami kerana kami mahu sentiasa berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!