X

Kindly register in order to view this article
!

TLDM dan keselamatan samudera

A
A

Kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang bertegas supaya rantau Asia khususnya Laut China Selatan perlu bebas daripada ancaman konflik proksi global semasa hadir pada Persidangan Keselamatan Munich 2020 (MSC2020) di Jerman baru-baru ini perlu diperhalusi.

Mohamad dalam ucapannya menegaskan bahawa rantau Asia terutamanya Laut China Selatan perlu bebas dan tidak terheret ke dalam kancah perang proksi khususnya melibatkan China yang sedang muncul sebagai kuasa baharu.

Apabila bercakap soal keselamatan di perairan negara, ia tidak dapat lari daripada menyentuh kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai benteng pertahanan maritim. Realitinya, program pembangunan yang dirancang untuk pasukan ini tidak berjalan seperti sepatutnya.

Jika melihat perancangan atas kertas, TLDM memiliki kira-kira 39 buah kapal tidak termasuk dua buah kapal selam. Daripada jumlah tersebut, 14 ialah kapal perang meliputi kelas frigat, korvet dan kapal peronda generasi baru (NGPV) sebagai tunjang utama armada.

Jujurnya, jumlah aset itu tidak seimbang dengan tanggungjawab yang dipikul bagi mengawasi kedua-dua perbatasan perairan di Semenanjung dan Malaysia Timur termasuk wilayah negara di Laut China Selatan.

Ketika ini, TLDM berhadapan dengan isu ketiadaan kapal perang yang mencukupi, malah keadaan diburukkan lagi dengan kelewatan program pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS).

Kapal LCS telah mengalami kelewatan selama 34 bulan. Perolehan kapal-kapal itu dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) untuk tempoh 10 tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2013 sehingga Oktober 2023 dengan kos RM9.1286 bilion.Sehingga 30 September 2019, kemajuan sebenar keseluruhan perolehan hanya 55.7 peratus berbanding perancangan sepatutnya 78 peratus iaitu lewat lebih 25 peratus.

Difahamkan, kapal pertama sepatutnya diserahkan pada April 2019 tetapi tidak dapat dilakukan dan ditunda sehingga tahun 2023.

Perkara serupa juga berlaku semasa program perolehan enam NGPV yang dimeterai pada tahun 1998 dengan konsortium German Naval Group dan PSC-Naval Dockyard. Ia bagi menggantikan kapal-kapal peronda atau PV milik TLDM ketika itu yang telahpun mencapai usia lebih 40 tahun.

PSC-Naval Dockyard gagal memenuhi kontrak untuk membekalkan kapal NGPV termasuklah kegagalan untuk memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan dari sudut teknikal dan operasi. Kelewatan

Syarikat berkenaan kemudian diambil alih dan dikenali sebagai BNSSB. Kapal pertama, KD Kedah hanya disiapkan pada tahun 2006 diikuti kapal-kapal lain dengan yang terakhir, KD Selangor pada 2009.

Program NGPV yang diasaskan daripada rekaan kapal Meko 100 melibatkan pembelian cetak biru bagi membina 27 buah kapal kesemuanya sepatutnya menjadi pemangkin bagi industri pertahanan maritim negara ketika itu.

Malangnya, ia tidak diteruskan lantas merencatkan perancangan kepimpinan TLDM pada masa itu untuk mempersiapkan angkatannya agar bersedia menghadapi ancaman akan datang.

Kelewatan dan kegagalan membekalkan NGPV sebenarnya mempunyai kesan negatif kepada kemampuan pasukan itu untuk menjamin keselamatan kawasan maritim negara.

Situasi hari ini menyebabkan TLDM tiada pilihan, lantas memaksa pasukan itu bergantung kepada aset-aset sedia ada. Selain 14 kapal perang, TLDM terpaksa bergantung harap pada kapal peronda kelas Perdana dan Jerong yang usianya lebih 40 tahun. Sejauh manakah kudrat kapal-kapal ini sekiranya terpaksa bertempur dengan musuh?

Menoleh 20 tahun lalu, situasinya berbeza apabila TLDM merupakan angkatan laut kedua termoden di rantau ini selepas Singapura. Dua frigat kelas Lekiu yang diterima pada tahun 2000 telah melonjakkan kuasa tempur TLDM apabila buat pertama kali memiliki keupayaan peperangan tiga dimensi.

Melengkapi perolehan itu ialah pembelian enam buah helikopter Super Lynx 300 yang boleh melancarkan peluru berpandu antikapal Sea Skua dan memikul operasi memusnahkan kapal selam.

Jika sekalipun negara berhadapan dengan kekangan, setidak-tidaknya TLDM perlu dibekalkan dengan kapak tajam dan bukannya pisau cukur tumpul.

* Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus