Seminar Karyawan Gig Karangkraf dapat sambutan hangat

SHAH ALAM - Seminar Karyawan Gig Karangkraf 2025 yang julung kali diadakan bertujuan membina jambatan menghubungkan Grup Buku Karangkraf dengan karyawan gig dalam industri perbukuan menerima sambutan hangat daripada peserta.
Eksekutif R&D (Konten) Grup Buku Karangkraf, Siti Rahmah Mokhtaruddin berkata, seminar yang berlangsung pada Sabtu memfokuskan kepada enam kategori karyawan gig atau freelancer dalam penerbitan buku iaitu pengarang Bahasa Melayu dan Inggeris, penterjemah, jurutranskrip, penulis upahan, ilustrator serta pereka grafik.

Menurutnya, tujuan utama ia dilaksanakan ialah untuk mengumpulkan dan memperkenalkan gaya penulisan Karangkraf kepada karyawan bagi melancarkan gerak kerja penerbitan buku pada masa akan datang.
“Pada November tahun lepas, kami telah mengumpulkan senarai karyawan gig di seluruh Malaysia. Lebih 100 orang mendaftar sebagai peserta dan sambutan yang diterima pada hari ini sangat menggalakkan.
“Selepas seminar, peserta akan menyertai ujian penilaian dan karyawan yang melepasi tahap penilaian ini diberi keutamaan untuk panggilan tawaran apabila ada tugasan berkaitan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!