Subsidi tambang penerbangan musim perayaan kurangkan rungutan rakyat - Anthony

Anthony beramah mesra bersama penumpang penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Jumaat. Foto Bernama
Anthony beramah mesra bersama penumpang penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum pada musim perayaan, berjaya mengurangkan rungutan rakyat mengenai harga tiket penerbangan yang mahal, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, kejayaan itu terbukti setelah setahun kerajaan Madani melaksanakan pemberian subsidi sempena musim perayaan di negara ini.

"Tahun ini kita tidak lagi dengar rungutan di media sosial tentang tiket mahal seperti RM2,000 untuk balik Tawau atau Sandakan. Semuanya terkawal dan ramai yang mengambil peluang dengan tambang tetap ini.

"Setelah setahun kita melaksanakan dasar menetapkan kadar tambang tetap atau tambang maksimum, kita dapat lihat hasilnya. Harga tiket dapat dikawal dan tiada lagi aduan harga tiket (penerbangan) melambung seperti sebelum ini,” katanya.

Anthony berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan penerbangan tambahan Malaysia Airlines (MAS) ke Tawau dan Sandakan, Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1 (T1) di sini pada Sabtu.

Anthony berkata, walaupun kerajaan menetapkan kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan, namun terdapat syarikat penerbangan yang menawarkan harga lebih rendah.

"Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap serendah RM300 bagi penerbangan khas waktu malam. Usaha ini membuktikan intervensi kerajaan berjaya meringankan beban rakyat,” katanya.

Mengenai sambutan rakyat terhadap inisiatif itu, Anthony berkata, keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk bagi penerbangan balik dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur. Selain MAS, syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Batik Air turut menambah penerbangan untuk memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

MAS sebelum ini mengumumkan 102 penerbangan tambahan pada waktu malam, menjadikan jumlah keseluruhan 219 penerbangan mingguan sepanjang musim perayaan ini.

MAS menawarkan tambang tetap sehala bermula RM349 ke Sabah dan Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!