Hubungan Malaysia-China melangkaui perdagangan, pelaburan - Anwar

Anwar berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan Malaysia dan China melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi pemahaman dan penghormatan bersama terhadap budaya serta tamadun kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, aspek unik dalam hubungan Malaysia dan China itu perlu dipupuk seiring dengan kerjasama ekonomi.

"Semasa perbincangan saya bersama Presiden Xi Jinping, kami bukan sahaja membincangkan hubungan ekonomi, perdagangan, dan pelaburan, tetapi juga keperluan membina persahabatan ini berdasarkan kepercayaan dan penghormatan bersama.

"Seperti peribahasa Cina mengatakan ‘selepas merentasi gunung dan sungai, kita akan tiba ke sebuah kampung yang dikelilingi pohon willow dan bunga-bungaan’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina 2025 yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.

Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (tiga, kiri), Sun Yeli (tiga, kanan), King Sing (dua, kanan), Johari dan tetamu kehormat menggaul yee sang ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran MOTAC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (tiga, kiri), Sun Yeli (tiga, kanan), King Sing (dua, kanan), Johari dan tetamu kehormat menggaul yee sang ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina 2025 anjuran MOTAC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu. Foto Bernama

Anwar berkata, penekanan China dalam mempromosikan penghormatan budaya adalah sejajar dengan prinsip keterangkuman Malaysia, yang memastikan setiap rakyat mempunyai tempat di Malaysia.

Beliau berkata, perayaan Tahun Baharu Cina yang dikenali sebagai Spring Festival di China, merupakan bukti perpaduan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Perayaan ini menyatukan rakyat daripada semua golongan komuniti, budaya dan wilayah di seluruh Malaysia. Ia mencerminkan komitmen kita terhadap keharmonian dan penghargaan bersama.

"Secara bersama, kita telah melangkaui ketidakpastian untuk merangkul masa depan dengan kerjasama yang berkembang pesat dan matlamat yang dikongsi bersama," kata beliau.

Perdana Menteri turut menekankan inisiatif tempatan seperti persembahan kebudayaan, projection mapping dan pameran kaligrafi di Melaka dan Pulau Pinang, sebagai contoh bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaian tradisi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!