'Syukur dapat kembali ke pangkuan keluarga selepas 6 hari bertarung nyawa'

Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung dua nelayan Malaysia yang hilang ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung dua nelayan Malaysia yang hilang ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.
A
A
A

MUAR - Tiada ungkapan yang mampu diluahkan nelayan Rosenizam Maharam, 55, selain hanya memanjatkan rasa kesyukuran apabila selamat tiba di negara ini, selepas bertarung nyawa di lautan akibat bot mereka hanyut ketika keluar memukat di perairan Undan pada 15 Januari.

Beliau yang juga awak-awak selamat tiba di Terminal Feri Bandar Maharani Bandar Diraja di sini pada Sabtu, kira-kira jam 2.30 petang, manakala tekong bot, Muarep Sakem, 63, masih berada di Dumai, Indonesia berikutan beberapa dokumen belum lengkap.

Menceritakan detik cemas itu, Rosenizam berkata, beliau dan Muarep hanya menyerah kepada nasib mereka kepada takdir, apabila bot mula memasuki perairan antarabangsa sebelum ditemukan nelayan di Pulau Rupat, Indonesia pada 21 Januari.

"Alhamdulillah rasa amat bersyukur dapat kembali semula ke pangkuan keluarga selepas enam hari bertarung nyawa bersama Muarep, selepas bot kami dibawa arus kuat melintasi perairan antarabangsa.

"Lebih membimbangkan kami jika memasuki perairan antarabangsa, kapal-kapal tidak nampak dan boleh menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Rosenizam berkata, mereka cuba bertahan dengan sedikit ikan yang dipukat dan beras, namun sehingga hari keenam bekalan makanan telah habis dan terpaksa menahan lapar selain hanya minum air.

Beliau berkata, dia juga bersyukur, sepanjang tempoh bot mereka hanyut tiada pelanggaran berlaku namun terpaksa kerap menimba air keluar disebabkan pam rosak.

Rosemizam berkata, sepanjang 10 tahun menjadi nelayan, kejadian enjin bot rosak pada pagi Khamis minggu lepas itu adalah pertama kali dihadapinya sehingga dihanyutkan, walaupun berkali-kali cuba menghidupkan enjin bot untuk pulang ke jeti.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga menghubungi pemilik bot kira-kira jam 11 pagi untuk maklumkan kepadanya enjin rosak dan meminta bantuan namun selepas berjam menunggu, bot tidak dapat dikemudi kerana arus dan ombak terlalu kuat.

"Pada Selasa lepas, kira-kira jam 7 malam sebuah bot nelayan dari Pulau Rupat yang sedang menurunkan pukat ternampak kami dan telah membantu menarik bot seterusnya saya dan Muarep dibawa ke Kampung Sukarjo Mesem di pulau itu,” katanya.

Rosenizam berkata, sejurus diselamatkan mereka berdua telah diberi makan dan minum, selain diberi layanan yang sangat baik oleh penduduk di Pulau Rupat termasuk pihak berkuasa di Dumai serta pejabat imigresen negara itu.

"Saya juga terus menghubungi adik untuk memaklumkan kami berjaya diselamatkan nelayan dari Pulau Rupat pada Selasa itu juga,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas, Mohd Hassan Baba berkata, Muarep dijangka dapat pulang ke Melaka selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau yang turut ke Dumai bagi menguruskan kepulangan dua nelayan tersebut berkata, masih terdapat beberapa dokumen tekong bot masih belum lengkap dan pihak Japerun sedang berusaha untuk menyelesaikannya.

"Insya-ALLAH minggu depan dia dijangka pulang ke Melaka dan buat sementara ini Muarep ditempatkan di Kampung Selat Baru sehingga menunggu tarikh sebenar dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!