NADI beri peluang pertingkat taraf hidup, impak pembangunan rakyat

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini menubuhkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Objektif penubuhan itu bertujuan menawarkan peluang kepada komuniti setempat untuk mempertingkatkan taraf hidup selain memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat.
Berdasarkan kenyataan media SKMM, pembukaan NADI yang dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut membuka ruang kepada penduduk Desa Tun Razak menjalani pelbagai latihan.
Jelasnya, NADI Desa Tun Razak juga mampu menjadi pusat komuniti serba guna dan menyediakan ruang interaksi sosial dalam kalangan masyarakat setempat.

"Kewujudan NADI ini membuka peluang besar kepada komuniti setempat untuk menguasai teknologi komunikasi terkini, meningkatkan kemahiran, serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus mewujudkan ekosistem lebih dinamik dan berdaya saing.
"NADI Desa Tun Razak merupakan salah satu daripada tiga NADI baharu yang beroperasi sejak 17 September 2024, menjadikan jumlah keseluruhannya di Kuala Lumpur sebanyak24 buah NADI," ujar SKMM pada Sabtu.
SKMM juga menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti sesi pameran reruai Usahawan NADI, taklimat keselamatan dalam talian serta saringan kesihatan secara percuma.
Fungsi NADI kini telah diperluas bukan sahaja untuk menyediakan capaian Internet, tetapi turut memperkasa komuniti melalui lima teras utama inisiatif Perkhidmatan Pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024.
Lima terasa utama tersebut adalah Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
Inisiatif Perkhidmatan Pintar ini bertujuan memastikan setiap program dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan impak besar dalam memperbaiki kualiti hidup serta memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!