Pekerja pasar raya maut rempuh belakang lori

KUANTAN - Seorang pekerja pasar raya maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Jek Achang Yusup, 27, yang beralamat di Kampung Melamam Sipitang, Sabah, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, lori yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari arah Semambu ke Gambang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori yang tidak membawa muatan memulakan perjalanan ketika lampu isyarat bertukar hijau.
"Namun, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori," katanya dalam pada Sabtu.
Wan Mohd Zahari berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!