Ayah, anak maut kereta bertembung lori

GUA MUSANG - Seorang ayah dah anak perempuannya maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai bertembung dengan sebuah lori di lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian jam kira-kira 4 pagi itu, lelaki yang berusia 46 tahun maut di lokasi akibat tersepit di bahagian pemandu.
Anaknya berumur 15 tahun pula maut dipercayai tercampak sejauh enam meter ke dalam gaung.

Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Razani Mamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata, kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Perodua Alza yang dipandu mangsa dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai bertembung dengan sebuah lori 10 tan dari arah bertentangan.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 pagi dan operasi tamat jam 5.45 pagi.
"Semasa operasi menyelamat lelaki terbabit tersepit di bahagian pemandu dan tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut beliau, anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa namun lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, kedua-dua jenazah telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Razani memberitahu, operasi menyelamat terbabit melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

