Ops Lancar: Polis tumpu 18 lokasi di Selangor

PETALING JAYA - Sebanyak 18 lokasi di Selangor akan menjadi tumpuan pihak polis sepanjang Ops Lancar bermula Jumaat hingga 2 Februari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi perangkap had laju akan dilaksanakan di tujuh daerah di negeri ini.
Beliau berkata, antara lokasi tumpuan perangkap had laju adalah di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK), Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dan Jalan Klang Teluk Intan serta Plaza Tol Sungai Besi.
"Selain operasi perangkap had laju, polis Selangor turut membuat rondaan di 62 kawasan 'hotspot' dan 32 kawasan 'blackspot' melibatkan kemalangan maut di seluruh negeri ini.
"Matlamat ops ini dilancarkan untuk melancarkan aliran trafik serta mengurangkan dan mengelakkan kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan ini," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan advokasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS 2, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE).
Hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.
Dalam pada itu, Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan boleh menghubungi Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-2266 3356.
Selain itu katanya, aduan atau pertanyaan juga boleh dibuat ke Bilik Gerakan Trafik Selangor 03-55100559 atau Hotline CCC Selangor 03-55145206.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
