Bersih tempelak Gerakan berhubung dakwaan hilang fokus, hala tuju

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menempelak kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mendakwa gabungan itu hilang fokus dan hala tuju.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi sebenar adalah Gerakan itu sendiri dilihat seperti tiada arah kerana tidak menjadikan idea menentang rasuah yang digagaskan pengasasnya, Syed Hussein Alatas sebagai pendorong parti berkenaan.
"Saya mengamati tulisan beliau (Syed Hussein) yang jelas menunjukkan komitmen beliau dalam memulihkan masyarakat. Ini termasuk ketegasan dalam agenda membasmi rasuah dalam buku 'Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi', namun hari ini saya tak lihat gagasan beliau menjadi pendorong Gerakan.
"Terutamanya untuk menjadi pembangkang yang berperanan sebagai agen semak dan imbang mengemukakan idea reformasi segar untuk lawan isu rasuah. Apatah lagi apabila parti gabungan mereka, Perikatan Nasional (PN) bersolidariti bersama kleptokrat baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Dominic Lau mendakwa Bersih hilang fokus dan hala tuju kerana dilihat tidak lagi agresif berbanding ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
Menurutnya, kali terakhir beliau melihat Bersih bersuara ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tahun lalu apabila seorang menteri mengumumkan peruntukan ke kawasan pilihan raya yang dianggap sebagai satu kesalahan dalam berkempen.
Dakwanya lagi, bagaimanapun selepas itu Bersih tidak lagi bersuara seolah-olah tiada lagi isu hendak diperjuangkan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal menegaskan, Bersih akan sentiasa mengkritik dan mengecam salah laku mana-mana kerajaan tanpa mengambil kira individu yang dilantik menjadi Perdana Menteri.
Tambah beliau, gabungan tersebut sehingga kini masih menjadikan gagasan Syed Hussein sebagai salah satu idea pendorong dalam perjuangan Bersih.
"Baru-baru ini ketika 'Forum Tolak Rasuah: Apa Anak Muda Nak Buat?' anjuran Bersih dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), saya petik gagasan Syed Hussein tersebut yang menjelaskan penting untuk rakyat khususnya mahasiswa untuk bangkit membasmi barah rasuah.
"Pada Februari 2024, Bersih anjurkan 'Himpunan Reformasi 100%' di hadapan Parlimen mendesak kerajaan Madani laksanakan Reformasi Struktural untuk menoktahkan rasuah daripada terus menjalar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!