Pahang larang guna bekas makanan polisterin mulai 1 Julai

Penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin akan dilarang sepenuhnya di Pahang mulai 1 Julai depan. Gambar hiasan.
Penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin akan dilarang sepenuhnya di Pahang mulai 1 Julai depan. Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin akan dilarang sepenuhnya di Pahang mulai 1 Julai depan.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, peniaga terutamanya pengusaha restoran diberi tempoh sehingga 30 Jun depan untuk untuk beralih kepada alternatif yang lebih selamat dan mesra alam.

Menurutnya, bagaimanapun penggunaan polisterin dalam sektor perikanan masih dibenarkan kerana ia tidak membawa sebarang risiko.

"Keputusan ini dibuat dalam MMK (Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan) minggu lalu dan semua bekas makanan berasaskan polisterin harus dimahsuhkan di seluruh Pahang.

"Ini kerana penggunaan polisterin, terutamanya apabila digunakan untuk makanan panas, ia boleh mengeluarkan asid berbahaya yang memudaratkan kesihatan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Yayasan PETRONAS di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Yayasan PETRONAS menyampaikan sumbangan kepada 300 keluarga golongan kurang bernasib baik berketurunan Tionghua di Pantai Timur sempena Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025.

Sumbangan berupa bekalan makanan asas dan bekalan makanan perayaan itu disampaikan kepada masing-masing 100 keluarga di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap negeri terbabit.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli

Chon Siang (tengah) merakamkan gambar bersama penerima pada Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Yayasan PETRONAS di sebuah hotel di sini pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN.
Chon Siang (tengah) merakamkan gambar bersama penerima pada Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina 2025 anjuran Yayasan PETRONAS di sebuah hotel di sini pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN.

Chon Siang menjelaskan larangan penggunaan bekas makanan polisterin telah diperkenalkan sejak 2019, tetapi penguatkuasaan sebelum ini tidak dilaksanakan secara ketat.

"Masih terdapat segelintir pihak yang tidak mematuhi peraturan ini. Oleh itu, saya harap semua peniaga makanan memberikan perhatian kepada keputusan ini," ujarnya.

Chon Siang turut memaklumkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang akan menjalankan pemeriksaan dan memberi notis peringatan kepada premis yang masih menggunakan polisterin sepanjang bulan ini.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar larangan tersebut selepas tarikh penguatkuasaan bermula.

"Kami menyeru semua pihak, termasuk pengguna, peniaga, dan pengusaha industri, agar bersatu dalam usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

"Langkah ini diambil untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan rakyat, sejajar dengan usaha mengurangkan sisa plastik dan mempromosikan penggunaan bahan alternatif yang lebih mesra alam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!