Guru raih RM1 juta, jutawan baharu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus 2025

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang guru sekolah dari Pahang, Hazrul Ikram Pahroraji bergelar jutawan setelah berjaya meraih RM1 juta dalam Majlis Cabutan Hadiah Utama 2025 Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat.
Tempat kedua dimenangi oleh Noor Afidah Mohammad Isa dari Selangor yang membawa pulang hadiah emas seberat 500 gram manakala tempat ketiga diraih oleh Radiah Jusoh dari Kelantan sekali gus mendapat ganjaran emas 100 gram.
Selain itu, pemenang yang lain pula ialah Muhammad Al Hafiz Abd Gafar, Tan Moi Kia dari Johor dan Aifa Nadhirah Muhammad Sazri dari Pulau Pinang.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam menerima peratusan keuntungan dividen saham yang diisytiharkan selama lima tahun berserta wang tunai sebanyak RM10,000, RM5,000 serta RM1,000.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, sambutan luar biasa daripada orang ramai telah menggalakkan institusi kewangan tersebut memperluaskan impak dan manfaat produk pelaburan.
“Pada Januari 2024, kita menyaksikan detik bersejarah apabila jutawan pertama Akaun Pelaburan-i Rizq Plus diumumkan, yang mana seorang jururunding berjaya membawa pulang hadiah utama berjumlah RM1 juta sebagai hasil daripada pelaburannya menerusi akaun ini.
“Sepanjang tahun ini, kami akan mengadakan pelbagai cabutan menarik, termasuk cabutan bulanan, suku tahunan, setengah tahun serta cabutan istimewa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi/Menanggung Kerja Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan, Nor Haimee Zakaria.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad Shahril, menerusi hadiah dan ganjaran lumayan berjumlah RM5.8 juta yang ditawarkan merupakan usaha Bank Rakyat memastikan pelanggan dapat meraih manfaat yang maksimum daripada produk pelaburan selamat selain patuh syariah.
“Pada tahun 2025, Bank Rakyat mensasarkan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM700 juta daripada sasaran awal kami pada tahun pertama produk ini dilancarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata, kejayaan tersebut mencerminkan usaha menyediakan produk patuh syariah yang inovatif dalam membantu masyarakat memenuhi komitmen kewangan mereka.
Menurutnya, inisiatif tersebut sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan inklusif dan kemakmuran ekonomi negara.
“Inisiatif ini adalah amat sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan inklusif serta kemakmuran ekonomi masyarakat Malaysia.
“Besarlah harapan kami agar pelanggan serta masyarakat di luar sana akan terus memberikan sokongan berterusan terhadap pelbagai tawaran produk serta kempen yang dianjurkan oleh Bank Rakyat bagi merebut manfaat dan ganjaran termasuk pulangan tinggi yang ditawarkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
