Musuh Islam tidak pernah berhenti lemahkan Muslim

A
A
A

FITNAH menjadi antara cabaran utama umat Islam pada akhir zaman hingga boleh menjadi tular seantero dunia.

Sentimen propaganda itulah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mencari jalan dalam menjatuhkan Muslim.

Demikian tegas Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menerusi program Jaulah Mahabbah @ Ceramah Khas Israk Mikraj anjuran Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dengan kerjasama Sinar Harian dan Sinar Islam Plus baru-baru ini.

DR MOHD IZHAR ARIFF -Foto: MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR
DR MOHD IZHAR ARIFF -Foto: MUHAMAD TARMIZE MOHD NOR

Berdasarkan analisis para ulama dan dijalankannya sendiri, beliau menjelaskan, naratif Israk Mikraj yang disebutkan dalam surah Isra’ tentang Masjidil Haram dan Aqsa adalah untuk memberitahu kita bahawa musuh-musuh Islam iaitu Yahudi atau Nasrani tidak pernah berhenti berfikir untuk menjatuhkan Islam.

“Sebab itulah orang bukan Islam yang banyak mengkaji dan memahami tentang Islam,” katanya pada program tersebut berkaitan topik ‘Mengisi iman, mendepani cabaran’.

Menerusi peristiwa perjalanan agung itu juga, agamawan tersebut menjelaskan, ALLAH SWT menunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW apa yang ada di sekeliling Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.

Tujuannya supaya kita dapat belajar daripada pemikiran dan cara hidup Yahudi hinggakan mereka boleh merampas dan mengambil alih tanah Palestin, selain di Syria, ungkapnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, orang Yahudi sememangnya mempunyai minda yang ‘diambil’ daripada Rasulullah SAW.

“Sejak dulu, mereka memang bencikan Nabi Muhammad SAW dan ambil apa yang ada pada Baginda.

“Menurut Prof Muhammad Said Ramadan Al-Bouti dalam kitab Fiqh al-Sirah dan disokong pula dalam satu buku karangan Syeikh Abu Hassan Ali Al-Hasani An-Nadwi bahawa Yahudi ada satu sifat iaitu mempunyai mimpi yang besar dan minda teliti,” tuturnya.

Hakikatnya, ujar Dr Mohd Izhar Ariff, ALLAH SWT yang mengajarkan tentang impian besar menerusi ayat ‘Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH’.

Ketahuilah bahawa azam itu merupakan mimpi.

“Nabi Muhammad SAW ada azam untuk menghadap kiblat ke arah Masjidil Haram, bukan Masjidil Aqsa sebab orang Yahudi mengejek Baginda menggunakan kiblat yang sama dengan mereka.

“Akhirnya ALLAH SWT menurunkan wahyu untuk menukar arah kiblat ke arah Baitullah, lantas Baginda yang sedang mendirikan solat bersama para para sahabat menukar kiblat sebagaimana diperintahkan,” katanya.

Kejatuhan Masjidil Aqsa

Menyoroti sirah, jelas ahli akademik itu, Masjidil Aqsa jatuh ke tangan Yahudi sejak zaman Uthmaniyah lagi.

Cerita beliau, Kerajaan Uthmaniyah yang bermula dengan pemerintahan Uthman Ertughrul pada 1299 Masihi mencapai kegemilangan selama lebih 600 tahun di bawah pentadbiran negara Islam hinggalah mengalami kejatuhan pada 1924.

“Ketika zaman kegemilangannya, ada raja yang sangat taat kepada ALLAH dan rasul hinggakan Yahudi hendak menyusup masuk pun sukar.

“Kaum Yahudi mengatur perancangan supaya mereka dapat membolosinya. Akhirnya sekitar 1500 Masihi, hampir 15,000 orang puak mereka masuk Islam,” katanya.

WALAU apa jua pangkat mahupun ideologi kita, segera nyahkan jauh-jauh apabila kita berada di masjid. -Foto: CANVA
WALAU apa jua pangkat mahupun ideologi kita, segera nyahkan jauh-jauh apabila kita berada di masjid. -Foto: CANVA

Dari situ muncullah titik permulaan kemenangan kepada Yahudi apabila Kerajaan Uthmaniyah semakin merudum tatkala Mustafa Kemal Ataturk mengambil alih menjadikannya sebagai sebuah negara sekular.

“Bayangkan dari 1500 Masihi, lebih 400 tahun perancangan diatur Yahudi dengan begitu strategi sekali hingga akhirnya mendapatkan Palestin pada 1946. Sampai ke hari ini, tiada orang lawan kerana kekuatannya,” katanya.

Sifat Yahudi dan pengajaran untuk umat Islam

Bukan itu sahaja, ujar Dr Mohd Izhar Ariff lagi, kaum Yahudi juga mempunyai minda positif dan sentiasa mengikut arahan negaranya.

Contoh paling mudah katanya, Yahudi menghalang rakyatnya daripada merokok walaupun kaum itu dikatakan merupakan pengeluar produk tembakau terbesar.

“Bayangkan sekarang banyak rokok dijual di seluruh dunia. Agenda mereka berjaya.

“Saya pernah tanyakan kepada pemandu pelancong, dia kata, di sana, kalau nak merokok juga, ada kawasan tertentu yang mana tempat merokoknya satu tahap dengan tandas,” katanya.

Satu lagi sifat Yahudi, ujar beliau lagi, mereka mempunyai minda yang mengekalkan momentum dan cara fikir 10 langkah ke hadapan sama seperti Nabi Muhammad SAW.

“Saat Rasulullah SAW memasuki Madinah, pelbagai perkara dilakukan oleh Baginda termasuk mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar yang tidak sama ideologi serta akhlaknya.

USAH berseteru sesama saudara seagama kerana ia akan merugikan umat Islam dan memberi kelebihan kepada musuh-musuh Islam. -Foto: CANVA
USAH berseteru sesama saudara seagama kerana ia akan merugikan umat Islam dan memberi kelebihan kepada musuh-musuh Islam. -Foto: CANVA

“Sedangkan boleh saja Nabi tidak lakukannya, tetapi Baginda berfikir jauh (tentang impaknya kepada umat Islam),” katanya.

Terbaharu, dedah pendakwah tersohor itu, puak itu membangunkan pula daging kultur yang mana ia diambil dari sel tisu haiwan dan lahirlah daging-daging yang pelbagai, selain daging cetakan 3D.

“Jelas bahawa mereka berfikir ke hadapan apa yang dimahukan sebab mereka tahu (rata-rata warga) Palestin hidup mengembala,” ungkapnya.

Lantaran itu, Dr Mohd Izhar Ariff mengingatkan agar umat Islam sentiasa bersatu dan tidak berpecah dalam mengharungi cabaran mendatang daripada musuh-musuh Islam.

“Benar, semua orang ada pangkat, pemikiran dan ideologi, letaklah di luar, tetapi apabila berada di dalam masjid, kita sebenarnya bersaudara.

“Berseteru sesama kita hanya akan menguntungkan musuh-musuh Islam. Cukuplah kita berbalah, rugi jika kita berbuat demikian,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!