Suami belasah isteri, berang dituduh ada kekasih gelap

KUALA LANGAT - Berang dituduh mempunyai kekasih gelap, seorang lelaki bertindak membelasah isterinya dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Saujana Putra, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan dibuat mangsa yang merupakan wanita tempatan berumur lingkungan 30-an itu kira-kira jam 2 petang.
Beliau berkata, siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek disebabkan suspek didakwa memiliki perempuan simpanan.
"Suspek yang berang kemudiannya bertindak memukul mangsa di bahagian badan mengakibatkan mangsa cedera.
"Doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan terdapat kecederaan tisu di beberapa bahagian badan mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, susulan laporan dibuat, suami mangsa yang juga merupakan lelaki tempatan diberkas untuk siasatan.
"Individu berumur lingkungan 30-an itu turut direkod keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!