Peralihan kuasa PM: Jangan sudu lebih daripada senduk, kata Husam

Husam Musa
Husam Musa
A
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim telah meletakkan asas terhadap peralihan kuasa membabitkan jawatan Perdana Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa sehubungan itu meminta mana-mana pihak tidak perlu campur tangan bagi mengeruhkan keadaan, selain berharap keputusan peralihan tersebut berlaku dalam suasana matang.

"Tun M sudah beritahu, bila tiba masanya dia akan berundur. Dua-dua pemimpin ini telah meletakkan asas yang baik dan tidak perlu campur tangan pihak luar, termasuklah tekanan dan sebagainya.

"Janganlah ada sudu lebih daripada senduk, senduk dah letak asas, sudu pandai-pandailah sesuaikan diri," katanya kepada media di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyampaikan Bantuan Bencana Padi Musim 2/2008 di Kota Bharu hari ini.

Terdahulu, Husam diminta mengulas mengenai isu peralihan kuasa yang dijangka dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, esok.

Sementara itu, Husam turut menganggap usaha mewujudkan akaun bersumpah (SD) sebagai tidak wajar kerana PH sudah memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir.

"Tidak timbul lagi usul percaya atau tidak. PH ialah pihak yang pertama percaya (kepada Dr Mahathir) sebelum Pas dan UMNO percaya. PH percaya tanpa usul melalui keputusan PH yang menerima Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya tumpaskan BN (Barisan Nasional) dan tadbir negara.

Artikel Berkaitan:

"Kalau sekarang terhegeh-hegeh nak berikan undi percaya kepada Dr Mahathir dan mengatakan PH pula tak percaya, ini orang panggil sesuatu yang pelik," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Dr Mahathir mengaku tidak terlibat dengan sebarang akuan bersumpah (SD) untuk kekal memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama satu penggal.

Katanya, beliau sendiri hairan bagaimana wujudnya angka seramai 138 ahli Parlimen menandatangani SD tersebut.

Terdahulu, Sarawak Report yang memetik sumber melaporkan ada individu yang mengumpulkan ahli Parlimen untuk menandatangani SD itu dalam tempoh terdekat.

Laporan itu juga mendakwa, Ahli Parlimen UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan yang setia kepada seorang pemimpin kanan PKR, sudah diminta untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani SD itu supaya peralihan kuasa melibatkan jawatan Perdana Menteri ditangguhkan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN 'Ada muslihat licik, tapi Tun M tetap pegang pada janji'