'Ada rombakan portfolio, tunggu ilham dalam mimpi' - Ab Rauf

JASIN - Rombakan portfolio Exco kerajaan Melaka tetap akan dilakukan namun belum memuktamadkan tarikh bagi pengumuman perubahan tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, ini kerana beliau masih lagi memikirkan, mengkaji, meneliti serta akan membuat pertimbangan yang tinggi untuk melakukan transformasi dalam portfolio Exco masing-masing.

Bagaimanapun Ab Rauf menafikan dakwaan akan terdapat dua Exco kanan selain mengesahkan rombakan ini hanya membabitkan pertukaran portfolio tanpa ada individu digugurkan.
"Setakat ini saya sedang mengkaji, meneliti dan memberikan pertimbangan yang tinggi untuk perubahan dalam portfolio ahli Exco terbabit.
"Tetap akan berlaku (rombakan) dan tunggu ilham dalam mimpi nanti," katanya selepas merasmikan Duta Riang Villa, Selandar di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, sudah pasti pertukaran portfolio itu tidak akan membebankan mana-mana Exco.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut memberi gambaran bahawa rombakan itu akan mengikut susunan Kabinet.
"Jadi, saya akan membuat pengasingan supaya keseimbangan dan tanggungjawab itu dapat dirasai oleh semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!