Polis jumpa pistol dalam bagasi lelaki jatuh bangunan

KAJANG - Polis menemukan sepucuk pistol dan peluru di dalam bagasi selepas seorang lelaki dilaporkan terjatuh dari tingkat 12 sebuah bangunan, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 12.34 tengah hari.
"Seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil siasatan lanjut, kita menjumpai sepucuk senjata api jenis pistol semi automatik dan peluru di dalam bagasi yang berada dalam kenderaan milik lelaki itu. Mangsa yang bekerja sampingan itu tinggal di kawasan berhampiran, dia tiada rekod jenayah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Naazron berkata, siasatan lanjut berkenaan penemuan senjata api itu sedang dijalankan.
"Kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
"Siasatan berkaitan kes kematian mengejut ( SDR ) juga sedang dilakukan dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Mohamad Hafeez Hamzah di talian 019-6556536 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!