UJ nafi Kementerian Kewangan tutup, henti pekerja hotel TH

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) menafikan segala dakwaan palsu dan berniat jahat terhadap Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dikatakan menutup dan memberhentikan pekerja di hotel-hotel Tabung Haji (TH).

Syarikat tersebut yang merupakan anak syarikat milik penuh kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan turut mengutuk tuduhan di media sosial yang memfitnah Menteri Kewangan termasuk satu ugutan bunuh.

"Menteri Kewangan tidak terlibat dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ dan beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat yang berkaitan.

"Pengurusan UJ dan aset-aset di bawahnya adalah ditadbir oleh Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

"Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Izad Sallehuddin dan barisan pengurusan kanan UJ adalah terdiri daripada golongan profesional beragama Islam," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, firma audit bebas, Pricewaterhouse Coopers (PwC) telah dilantik untuk mengendalikan kajian semula kedudukan kewangan ke atas TH.

Menurut kajian mereka, PwC mendapati pelbagai langkah telah diambil oleh pentadbiran terdahulu bagi memalsukan peningkatan dan memanipulasi keuntungan dana.

Antara penemuan-penemuan tersebut termasuk tidak merekodkan kerugian rosot nilai aset dan transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mencatatkan keuntungan berganda untuk membayar hibah.

Artikel Berkaitan:

Laporan PwC turut menyatakan bahawa liabiliti-liabiliti TH telah melebihi aset-asetnya, justeru itu, pelan pemulihan dan penstrukturan semula oleh kerajaan adalah perlu bagi memastikan kesinambungan dana TH.

Pada Januari 2019, TH telah membuat laporan polis berhubung penyata kewangan untuk tahun 2017.

Ekoran itu, satu pakej pemulihan telah diusulkan oleh TH dan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan telah diluluskan oleh Kabinet pada 7 Disember 2019.

Pakej ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2019.

Seperti yang diusulkan dalam pelan pemulihan, UJ memperoleh aset-aset bernilai RM9.63 bilion daripada TH dengan jumlah RM19.9 bilion melalui terbitan dua siri sukuk dan tunai kepada TH.

Ini bermaksud, kerajaan telah membayar sebanyak RM10.3 bilion tambahan untuk memulihkan TH.

Aset-aset yang dipindahkan kepada UJ termasuk ekuiti tersenarai, 29 hartanah dan satu aset tidak tersenarai meliputi empat hotel yang beroperasi iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu.

Walau bagaimanapun, pemindahan milik ini tidak termasuk hartanah atau aset milikan TH Plantations yang sahamnya kekal dimiliki TH.

Sebagai sebahagian pelan untuk menggiat dan memperbaiki prestasi aset-aset yang diperoleh, UJ telah menubuhkan anak syarikat milik penuh, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) bagi meneruskan operasi empat hotel tersebut.

Dalam pada itu, UJ menjelaskan, pakej pemulihan terhadap TH bertujuan untuk melindungi kepentingan penyumbang institusi kewangan Islam itu dan membantu TH kembali stabil.

"TH tidak perlu lagi menanggung kerugian aset yang bernilai RM10 bilion kerana kerugian ini akan ditanggung oleh UJ dan kerajaan Malaysia. TH juga tidak perlu lagi menanggung beban dan risiko kerugian berterusan ke atas aset-aset yang telah dipindahkan ini," ujarnya.

Dengan pelan penstrukturan kerajaan itu, TH sudah menunjukkan benih pemulihan dengan mengaut keuntungan sebanyak RM1.3 bilion untuk sembilan bulan pertama dalam 2019.

"Dalam masa yang sama, jumlah aset juga menunjukkan penambahan dengan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion," katanya.