Pemaju hotel di Taman Alam perlu kelulusan EIA

Loy Sian (dua dari kiri) menyerahkan dokumen penyerahan lembu korban kepada wakil JAKOA Selangor dalam satu majlis di Selangor Fruit Valley pada Rabu.
Loy Sian (dua dari kiri) menyerahkan dokumen penyerahan lembu korban kepada wakil JAKOA Selangor dalam satu majlis di Selangor Fruit Valley pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Syarikat pemaju yang diberi kebenaran membangunkan hotel bertaraf bintang dan antarabangsa di Hutan Paya Laut Taman Alam, Kuala Selangor perlu mendapatkan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri hanya menyediakan permit penggunaan, namun sebarang projek perlu mendapat kelulusan EIA dan mengikut peraturan ditetapkan.

"Kita telah luluskan (permit membangunkan hotel) dan pengusaha perlu mendapatkan EIA sebelum melaksanakan projek ini," katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Lembu Korban kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Selangor Fruit Valley pada Rabu.

Loy Sian berkata, projek itu nanti diyakini tidak memberi kesan terhadap hutan paya laut itu pada masa depan selain tidak dibangunkan bangunan tinggi bertingkat, sebaliknya kira-kira 350 chalet mesra alam sekitar yang akan didirikan.

"Kita berharap hotel bertaraf bintang ini dapat menarik pengunjung luar negara untuk bermalam di Kuala Selangor," ujarnya.

Jelasnya, kawasan daerah Kuala Selangor dan Sekinchan masih tidak mempunyai hotel bertaraf bintang untuk menarik pelancong daripada Timur Tengah atau Eropah.

"Jadi kita harap dua kawasan ini akan dapat merancakkan lagi industri pelancongan di sini seterusnya menarik kedatangan pelawat dari luar negara," tambahnya.

Ditanya mengenai laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mencatatkan Selangor mengungguli negeri tumpuan pelawat domestik sepanjang tahun lalu, Loy Sian berkata, usaha itu dilaksanakan dengan baik pihak Tourism Selangor.

Katanya, kempen 'nak bercuti pusing Selangor dulu' yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu itu berjaya menjadikan Selangor sebagai negeri tumpuan pengunjung.

"Beberapa daerah di negeri ini turut mencatatkan kedatangan pelancong tertinggi iaitu di Petaling, Sepang dan Kuala Selangor," jelasnya.