70 peratus sijil halal dipegang syarikat bukan bumiputera - HDC

PASIR SALAK - Halal Development Corporation Berhad (HDC) memaklumkan 70 peratus daripada lebih 9,000 syarikat tempatan yang mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan dalam kalangan pengusaha bukan bumiputera.
Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, data itu menunjukkan syarikat milik bumiputera yang terlibat dalam sektor pengeluaran produk makanan masih lagi rendah.
Menurut beliau, perkara itu menjadi cabaran kepada HDC untuk mencari lebih ramai pengusaha syarikat milik bumiputera berikutan pasaran halal global mula mendapat permintaan tinggi.
"Sektor pengeluaran dan perkilangan memang secara tradisinya didominasi oleh bukan bumiputera dan apabila mereka mematuhi standard ia secara automatik ia mendominasi jumlah syarikat yang memperoleh pensijilan halal.
"Maka ia menjadi cabaran kepada HDC untuk kita mencari lebih ramai usahawan Melayu atau bumiputera untuk terbabit dalam sektor pengeluaran produk makanan yang memiliki pensijilan halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Multaqa Pegawai Masjid peringkat Parlimen Pasir Salak 2025 di Dewan Pulau Gajah, Kampung Gajah di sini pada Isnin.
Khairul Azwan berkata, HDC juga memfokuskan untuk mengukuh dan memperluas pasaran halal dengan membantu usahawan dan syarikat tempatan supaya berdaya saing.
"HDC juga membantu pemohon terutama syarikat pengeluar untuk memastikan permohonan mereka itu lengkap sebelum diajukan kepada pihak Jakim.
"Sektor pengeluaran ini mesti mempunyai pensijilan seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) atau MESTI (Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri). Tempoh 30 hari masa yang diambil Jakim untuk memproses permohonan sijil halal adalah munasabah," katanya.
Tambah beliau, ekosistem halal Malaysia menjadi rujukan banyak negara bagi membina pasaran sama.
"Standard halal negara sudah mencapai standard emas di peringkat antarabangsa dan menjadi rujukan. Ekosistem halal Malaysia sudah berusia 50 tahun dan ia melalui pelbagai episod sepanjang tempoh tersebut.
"Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, ia perlu dimanfaatkan sebaiknya dan kita telah diarahkan membina ekosistem halal yang mampan supaya apabila sistem ini wujud, peluang usahawan negara berdagang akan lebih terjamin dan bersistematik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
