Parah ditikam pisau, Saif Ali Khan dibenar keluar hospital

NEW DELHI - Bintang Bollywood, Saif Ali Khan dibenarkan keluar dari hospital Mumbai pada Selasa selepas dirawat akibat cedera diserang dengan pisau lima hari lalu.
Memetik laporan media antarabangsa, pelakon itu dilihat memakai baju putih dan seluar jeans biru sebelum memasuki kediaman rumahnya.
Sebelum ini, Saif Ali, 54, menerima enam kesan tikaman termasuk satu di bahagian tulang belakang dalam satu serangan di rumahnya di kawasan pinggir bandar Bandra, Mumbai pada Khamis.
Pihak hospital tempatan memaklumkan pembedahan itu berjaya mengeluarkan serpihan pisau sepanjang 6.3 sentimeter daripada bahagian tulang belakangnya.
Pada Ahad, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki menikam Saif Ali.
Suspek yang dipercayai warga Bangladesh, ditahan di bandar Thane yang bersempadan dengan Mumbai.
Dalam pada itu, serangan itu turut menimbulkan persoalan orang ramai berkenaan ketelusan undang-undang dan aspek ketenteraman bandar Mumbai.
Ini kerana insiden itu berlaku selepas tercetusnya beberapa insiden jenayah berprofil tinggi baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!