Gadis maut, motosikal dibonceng langgar 'backhoe' tukar haluan

KULAI - Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal ditunggang teman lelakinya melanggar tayar kanan hadapan jentera pengorek kaut (backhoe) yang dipercayai mengubah laluan di Kilometer (km) 41 Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada kira-kira jam 10.20 pagi itu berlaku apabila jentera pengorek kaut dalam perjalanan ke arah Johor Bahru telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

"Akibatnya motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun bersama pembonceng remaja perempuan berusia 18 tahun yang berada di lorong kanan telah hilang kawalan sebelum melanggar tayar kanan hadapan jentera pengorek kaut.
"Penunggang dan pembonceng motosikal telah tercampak ke laluan bertentangan dan menyebabkan pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia.
"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala pemandu jentera pengorek kaut iaitu lelaki tempatan berusia 48 tahun tidak mengalami kecederaan," ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Seng Lee, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

