Anggota Rela maut dirempuh motosikal

HULU SELANGOR - Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut dirempuh sebuah motosikal di Jalan Batang Kali-Ulu Yam Bharu di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 malam ketika mangsa yang merupakan wanita berumur 53 tahun itu menunggang sebuah motosikal.
Beliau berkata, laporan diterima polis mendapati pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 12.10 tengah malam.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika motosikal mangsa dilanggar sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang lelaki berumur 19 tahun.
"Ketika kejadian individu terbabit dalam perjalanan dari kawasan Rasa menuju Ligamas sebelum melanggar bahagian belakang motosikal mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, kemalangan mengakibatkan mangsa tercampak ke tepi jalan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang lelaki mengalami kecederaan ringan serta dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.
"Mangsa kemudiannya dibedah siasat di Hospital Kuala Kubu Bharu dan disahkan punca kematian adalah traumatic brain injury," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!