Kejar Makanan Viral, Jumpa Trak Viral Kesihatan: Kenapa Anda Wajib Kenali Wellness on Wheels (WoW)

No Image Caption
A
A
A

Makanan viral dan food truck sudah jadi gaya hidup kita, kan? Setiap kali ada hidangan baharu di media sosial, tekak pun terasa ‘gatal’ nak cuba. Tapi, dalam seronok berkejar-kejar ke pesta makanan dan mencuba menu unik, pernah tak kita berhenti sekejap dan fikir, “Apa khabar kesihatan aku ni?”

Jangan risau—ada trak yang lebih ‘wow’ daripada food truck biasa, dan kali ini, ia bukan sekadar tentang makanan, tapi tentang kesihatan anda! Kenali Wellness on Wheels (WoW)—trak yang membawa perkhidmatan kesejahteraan kesihatan terus ke depan mata anda.

Trend makanan viral: Sedap di lidah, berat di risiko

Kita memang ‘raja’ dalam bab mengejar trend makanan. Tak salah pun, sebab makanan memang sebahagian budaya Malaysia. Tapi, pernah perasan tak, banyak makanan viral sekarang ini terlalu manis, berminyak, atau bergaram tinggi?

Tak dinafikan, makanan ini menyeronokkan untuk dinikmati, tetapi kalau diamalkan tanpa kawalan, ia boleh membawa masalah kesihatan. Kolesterol tinggi, diabetes, dan tekanan darah tinggi hanyalah sebahagian daripada risiko yang mungkin anda hadapi. Lebih membimbangkan, ramai antara kita tak sedar tahap kesihatan sendiri sebab jarang buat pemeriksaan!

Trak kesihatan yang ‘viral’—Kenali Wellness on Wheels (WoW)

No Image Caption



Sertai aktiviti Wellness on Wheels (WoW), inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat. Trak WoW ini unik kerana ia membawa perkhidmatan kesejahteraan kesihatan terus kepada komuniti, tak kira di bandar atau luar bandar.

Lupakan alasan sibuk, sebab WoW ini sangat mudah, menyeronokkan, dan percuma! Antara yang ditawarkan:

Artikel Berkaitan:

  • Saringan kesihatan percuma untuk semua peringkat umur.
  • Aktiviti fizikal seperti “Coach on Stage” yang penuh aksi.
  • Cabaran kecergasan interaktif.
  • Permainan dan aktiviti menarik untuk galakkan gaya hidup sihat.

WoW di mana-mana, untuk semua

No Image Caption



Sejak dua tahun lalu, WoW sudah menjelajah lebih 1,545 lokasi di seluruh negara. Hampir sejuta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada trak kesihatan bergerak ini. WoW melawat pelbagai tempat, termasuk:

  • Sekolah dan institusi pendidikan.
  • Komuniti perumahan dan tempat kerja.
  • Rumah ibadat, taman rekreasi, dan pasar awam.
  • Karnival kesihatan, Hari Sukan Negara, dan program khas kementerian.

Pemeriksaan kesihatan bosan? Tunggu sampai anda cuba WoW!

Ramai orang rasa pemeriksaan kesihatan itu membosankan, tapi WoW menjadikannya satu pengalaman yang interaktif dan menyeronokkan. Pasukan WoW tahu cara untuk buat anda rasa teruja untuk membudayakan hidup sihat.

WoW juga membantu rakyat Malaysia bergerak daripada mentaliti ‘sick care’ kepada ‘health care’—penjagaan kesihatan bukan lagi tunggu sakit baru nak rawat, tapi ambil langkah awal untuk kekal sihat.

Langkah mudah untuk sertai WoW

Nak tahu bila trak WoW akan berada dekat kawasan anda? Hubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau semak laman web rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk:

  • Jalani pemeriksaan kesihatan percuma.
  • Sertai aktiviti fizikal yang menyeronokkan.
  • Dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan secara langsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!