Sushi pinggir bandar tawar harga RM1

Siapa sangka bermula dengan permintaan anak-anak yang suka makan sushi selain sekadar mencuba nasib menjualnya, kini makanan Jepun itu menjadi punca rezeki pasangan suami isteri di Bahau.
Siapa sangka bermula dengan permintaan anak-anak yang suka makan sushi selain sekadar mencuba nasib menjualnya, kini makanan Jepun itu menjadi punca rezeki pasangan suami isteri di Bahau.
A
A
A

JEMPOL - Siapa sangka permintaan anak-anak yang gemar makan sushi selain sekadar cuba nasib menjual makanan Jepun itu, kini menjadi punca rezeki buat pasangan suami isteri di sini.

Noor Mazlin Awang, 45, dan Shahril Azmir Salleh, 46, mula menjual 27 jenis sushi sejak November 2020 dengan harga RM1 sebiji dan pernah tular kerana diminati oleh semua peringkat umur.

Jelas Noor Mazlin kepulangannya ke kampung halaman di Bahau pada 2018, awalnya kerana ingin menjaga Allahyarham ibunya.

Noor Mazlin (kiri) ketika melayani seorang pelanggannya.
Noor Mazlin (kiri) ketika melayani seorang pelanggannya.

"Sebelum ini saya tinggal di Kuala Lumpur berniaga pelbagai jenis kuih sejuk beku dan suami pula bekerja sebagai pemandu Grab. Apabila mak tidak sihat suami izinkan saya menjaganya di kampung.

"Jadi sambil menjaga mak, saya berniaga kuih sejuk beku seperti biasa tetapi beralih angin pula niaga sushi, tambahan tiga orang anak saya pengemar sushi. Saya ambil keputusan belajar buat sushi di ibu negara dan Alhamdulillah sehingga kini ia masih bertahan berniaga sushi," katanya.

Noor Mazlin menjual sushi RM1 pernah tular dan kini masih menjadi pilihan masyarakat setempat.
Noor Mazlin menjual sushi RM1 pernah tular dan kini masih menjadi pilihan masyarakat setempat.

Noor Mazlin berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerainya di Gerai Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Taman Tuanku Puan Chik, Bahau pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2021 akibat paru-paru berair dan sakit buah pinggang, dia meneruskan perniagaan berkenaan bersama suaminya dengan membuka khemah kecil sebelum beralih di gerai MPJL.

Antara hidangan sushi yang berharga RM1 sebiji.
Antara hidangan sushi yang berharga RM1 sebiji.

Katanya, selain sushi RM1, dia turut menjual sushi premium dengan harga bermula RM2 hingga RM4 iaitu sushi octopus, ebi tempura, inari smoke dan mentai rice.

"Alhamdulillah walaupun kami berniaga di pinggir bandar ia tetap ada peminatnya tersendiri, orang kata rasanya standard dengan sushi di restoren," katanya yang turut menjual sushi kek dan parti box.

Ditanya mengenai harga sushi, Noor Mazlin berkata, tidak berhasrat untuk menaikkan harga makanan tersebut susulan ia memberi peluang kepada semua golongan untuk merasainya.

"Orang kata tidak ada untungnya, tetapi sebenarnya ada walaupun tidak banyak. Saya harap apa yang saya usahakan ini kekal sampai bila-bila walaupun dunia perniagaan ini ada pasang surutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!