Lelaki meninggal daki Bukit Kledang

IPOH - Seorang lelaki menemui ajal semasa menjalankan aktiviti mendaki Bukit Kledang, Menglembu di sini pada Isnin.
Mangsa Low Chaw Ming, 54, yang mendaki bersama seorang lagi rakan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa turun dari kawasan pendakian berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian tersebut jam 3.06 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh tiba ke lokasi 16 minit kemudian.

"Difahamkan mangsa mengadu sesak nafas dan pengsan ketika membuat aktiviti pendakian tersebut. Sebelum ketibaan anggota, PBS (Pasukan Bomba Sukarela) Pekan Baru dan PBS Menglembu telah hadir dan melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa.
"Pihak KKM telah hadir di lokasi seterusnya membuat pemeriksaan terhadap dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sabarodzi berkata, anggota kemudiannya membantu pihak KKM menurunkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi melibatkan 10 orang anggota bersama tiga jentera itu tamat jam 4.33 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

