Lori tangki musnah, struktur kilang rosak akibat letupan bahan kimia

KLANG - Sebuah lori tangki hancur akibat letupan di sebuah kilang kimia di kawasan perindustrian Sungai Kapar Indah di sini pada Isnin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian terbabit bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa.
"Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 4.45 petang.

"Siasatan awal mendapati letupan berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan kilang terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, kejadian turut mengakibatkan berlaku kerosakan pada bangunan kilang berkenaan serta kilang berdekatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara, dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Semakan awal pihak bomba mendapati terdapat asap berwarna kuning yang memedihkan mata di lokasi kejadian.
"Pasukan Hazmat (Unit Pengurusan Bahan Berbahaya) menjalankan pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal dan bahan terlibat adalah jenis recycle asid," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!