Trump mahu tandatangani lebih 200 tindakan eksekutif

WASHINGTON - Menjelang kepulangan ke Rumah Putih, Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berjanji untuk menandatangani sejumlah besar perintah eksekutif pada hari pertama beliau kembali mengambil alih tampuk kepimpinan di negara itu.
"Saya akan melakukan 'serangan kilat' dalam tempoh beberapa jam selepas angkat sumpah jawatan," katanya kepada ribuan penyokong beliau di Washington pada akhir minggu.
Di bawah pentadbiran Trump 2.0, beliau juga berikrar untuk bertindak secara unilateral dalam pelbagai isu menggunakan kuasa beliau sebagai Presiden.
Difahamkan, fokus utama beliau adalah untuk melancarkan operasi pengusiran secara besar-besaran ke atas pendatang haram, mengurangkan peraturan alam sekitar dan menamatkan program kepelbagaian.
"Kita akan mendahulukan Amerika dan segala-galanya akan bermula pada hari pertama. Anda akan berseronok ketika menonton televisyen pada Isnin," ujarnya.
Trump dijangka menandatangani lebih 200 tindakan eksekutif termasuk perintah eksekutif yang mengikat secara sa pada hari pertama beliau kembali ke Pejabat Oval.
"Setiap perintah radikal dan kurang cerdik pentadbiran Joe Biden akan dimansuhkan dalam tempoh beberapa jam selepas majlis angkat sumpah jawatan saya. Anda akan melihat perintah eksekutif yang akan membuat anda gembira.
"Kita perlu meletakkan semula negara ini di landasan yang tepat," katanya lagi.
Bilionair hartanah sarat kontroversi itu juga dijangka memberi pengampunan kepada individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan ganas ke atas Capitol pada 6 Januari 2021 yang didalangi puak penyokongnya.
Trump menggelar perusuh tersebut sebagai 'tawanan' dan berjanji bahawa semua pihak akan berpuas hati dengan keputusannya tentang nasib golongan berkenaan.
Presiden biasanya menandatangani tindakan eksekutif apabila mereka mengambil alih Rumah Putih, namun jumlah perintah yang bakal dilaksanakan Trump adalah melebihi angka dibuat pendahulunya dan kebanyakannya dipercayai akan dicabar di mahkamah.
Sementara itu, pakar percaya rancangan beliau untuk mendeportasi jutaan migran tanpa dokumen sah akan berdepan halangan logistik yang besar dan menelan kos dianggarkan mencecah ratusan bilion dolar. - Agensi
INFO
Antara perintah eksekutif Trump 2.0 ialah:
>Meningkatkan program kecerdasan buatan (AI)
>Menubuhkan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE)
>Menyediakan rekod berkaitan pembunuhan Presiden ke-35 AS, John F Kennedy pada 1963.
>Mengarahkan tentera mencipta perisai pertahanan misil Iron Dome dan menghapuskan dasar kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) daripada tentera
>Melarang transgender daripada bersaing dalam acara sukan kategori wanita
>Menyerahkan semula kawalan pendidikan kepada setiap negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

