Wanita hilang keluar rumah pandu kereta Axia biru

MANJUNG - Seorang wanita dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Bingang, Sitiawan di sini sejak 10 Januari lalu.
Ling Siew Siew, 48, yang mempunyai masalah gangguan mental kali terakhir dilihat keluar dari rumah memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna biru dengan nombor pendaftaran AMV 5568.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, laporan kejadian itu diterima pada 13 Januari selepas mangsa gagal dihubungi dan tidak berada di rumahnya.
“Waris ada bertanyakan kepada jiran dan mereka maklumkan kali terakhir melihat wanita itu pada Jumaat iaitu hari mangsa keluar dari rumah berkenaan," katanya.
Beliau berkata, Siew Siew ketinggian 155 sentimeter dan mempunyai berat 60kg, berambut pendek berwarna hitam serta berkulit kuning langsat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ketua Polis Balai Kampung Koh, Hishamuddin Md Isa di talian 019-3664181 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung 05-6886222.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, kali terakhir kenderaan dipandu Siew Siew dikesan Lebuhraya Persisir Pantai Barat (WCE) berhampiran Taiping.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenderaan tersebut menuju arah selatan atau utara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

