Pas Melaka dakwa ADUN PH hilang keyakinan terhadap Adly

Kamaruddin Sidek
Kamaruddin Sidek
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pas Melaka mendakwa ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di negeri ini berminat untuk menyertai blok pembangkang.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, hasrat itu disuarakan setelah melihat kerajaan PH negeri kini tidak menggambarkan keharmonian dan kestabilan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu mereka ada menyuarakan sekiranya gabungan tersebut membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyat itu lebih bagus kerana kerajaan yang tidak stabil sudah pasti banyak agenda tidak dapat dilaksanakan.

Katanya, tanpa mendedahkan nama individu terbabit, cadangan mereka untuk bersama blok baharu itu juga setelah hilang keyakinan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari yang didakwa gagal menyelesaikan banyak isu terutama melibatkan orang Melayu antaranya isu sijil halal hotel dan isu pembuangan kerja anak-anak Melayu.

"Mungkin wakil rakyat yang semangat Melayu rasa dukacita dan beliau (Adly) tak boleh nak mengharmonikan, cuma saya tidak boleh sebut dengan siapa saya bersembang jadi mungkin ada pihak yang melihat perjumpaan saya itu.

"Saya jumpa tak ramai sedangkan ia perjumpaan santai-santai bukan formal, mereka kata dah tak seronok dan mereka berminat," katanya.

Kamaruddin bersama Gerakan Pembela Ummah selepas membuat laporan polis berhubung penjualan Hotel Tabung Haji (TH) di Balai Polis Batang Tiga di sini, malam tadi.
Kamaruddin bersama Gerakan Pembela Ummah selepas membuat laporan polis berhubung penjualan Hotel Tabung Haji (TH) di Balai Polis Batang Tiga di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas sidang media laporan polis berhubung penjualan Hotel Tabung Haji (TH) di Balai Polis Batang Tiga di sini malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Melaka, Hishammudin Abu Bakar.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, G Rajendran berkata, isu mewujudkan kerajaan campuran baharu Pakatan Nasional didakwa telah lama dibincangkan dan bukannya baharu diperkatakan di negeri ini.

Kamaruddin berkata, usaha gerakan Pakatan Nasional sudah lama menjalar ke bawah dan pihaknya bersikap terbuka tetapi bukan dengan cara melalui pintu belakang ataupun rampasan kuasa namun berlaku dalam kerangka demonstrasi.

Menurutnya, Melaka negeri paling berpotensi untuk mewujudkan pakatan campuran itu selain Kedah dan Perak memandangkan kerusi pembangkang begitu rapat dengan kerusi PH iaitu 13:15 namun segala keputusan peringkat negeri bergantung kepada keputusan Pas Pusat sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.

"Saya rasa isu ini nak dinafikan pun tak boleh, tapi kalau kerajaan negeri nak nafikan terpulang," katanya.