Perjanjian 'adik-beradik' tingkatkan jualan peniaga

Nik Rosmawati (dua, kanan) bersama Nazri (dua, kiri) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani bagi membantu peniaga.
Nik Rosmawati (dua, kanan) bersama Nazri (dua, kiri) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani bagi membantu peniaga.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu dan Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bertujuan memperluaskan produk kraf dan batik tempatan serta hasil perniagaan Pasar Siti Khadijah.

Pengerusi Persatuan Batik dan Kraf Bazar Buluh Kubu, Datin Nik Rosmawati Nik Yusoff berkata, kira-kira 100 ahlinya bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih 350 ahli Persatuan Peniaga Pasar Siti Khadijah saling membantu memperkenalkan produk kedua-dua pihak kepada pelancong melalui pelbagai medium.

Beliau memberitahu, inisiatif itu diambil untuk menarik lebih ramai pelanggan termasuk pelancong bagi membantu peniaga di kedua-dua pasar terbabit.

Nik Rosmawati (kanan) menandatangai MoU bersama Nazri.
Nik Rosmawati (kanan) menandatangai MoU bersama Nazri.

"Kami ibaratkan MoU ini sebagai perjanjian 'adik-beradik' yang akan saling membantu memperkenalkan produk di bazar dan pasar ini.

"Jarak antara pasar dan bazar yang hanya kira-kira 200 meter menjadi satu kemestian untuk dilawati pelancong kerana produk yang dikeluarkan berkualiti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah diwakili Pengerusinya, Ahmad Nazri Che Omar.

Nik Rosmawati memberitahu, MoU itu berkuat kuasa selama dua tahun daripada tarikh ditandatangani dan mungkin akan disambung jika kedua-dua pihak berpuas hati dengan kaedah itu.

Artikel Berkaitan:

Nik Rosmawati percaya usaha itu dapat menggalakkan peniaga meningkatkan kualiti produk dan daya saing melalui latihan dan bimbingan perniagaan yang akan dilaksanakan bersama.

"Selepas ini peniaga boleh memanfaatkan pelbagai program bersama untuk mempromosi keunikan budaya dan tradisi negeri ini melalui produk yang dijual di kedua-dua pasar itu

"Kita juga mahu peniaga bazar dan pasar ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap keindahan produk tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Difahamkan sebelum ini ramai peniaga bazarcbuluh kubu mengeluh kerana kekurangan pelanggan dan hanya waktu tertentu sahaja produk mereka mendapat sambutan.

Justeru, MoU itu antara usaha menarik semula pelanggan terutama pelancong untuk datang ke Bazar Buluh Kubu dan melihat sendiri pelbagai produk kraf serta batik Kelantan yang berkualiti tinggi.

Pada majlis sama, kesemua peniaga yang hadir turut mendengar taklimat daripada Bank Islam mengenai manfaat pinjaman tanpa faedah yang diberi kepada peniaga kedua-dua pasar berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!