'Gajah kerumun kereta, bergoncang macam duduk dalam buaian'

IPOH - "Kereta bergoncang seakan kami duduk dalam buaian." - Demikian kata Nur Izzatie Zulkifli, 30, ketika berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki dihampiri sekumpulan gajah liar di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik ke Jeli pada Sabtu.
Nur Izzatie berkata, kejadian sekitar jam 6.50 petang itu berlaku, ketika dia bersama suami dan tiga ahli keluarga lain dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani, Kedah ke Ketereh, Kelantan.
Menurutnya, semasa menghampiri kawasan Pulau Banding, secara tiba-tiba kumpulan gajah tersebut keluar dari kawasan hutan berhampiran dan berada di atas jalan menghalang kenderaan.
Katanya, keadaan itu memaksa suaminya yang memandu kereta memberhentikan kenderaan dengan segera sementara kereta di hadapan berjaya melepasi kawasan gajah tersebut.
"Semasa gajah itu meluru ke kenderaan, saya hanya fikir kereta kami ini mungkin terbalik.
"Haiwan itu agak agresif, bukan sekadar menyentuh cermin menggunakan belalai, tetapi menekan hadapan kereta di kedua-dua bahagian kiri dan kanan sehingga bergoncang kuat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Usahawan kelulut itu mengakui, keadaan itu menyebabkan mereka berlima panik dan ketakutan terutama ayahnya berusia 65 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang sehingga mengalami sesak nafas.
Ujarnya, mujurlah gangguan gajah itu berlaku sekejap dan selepas kawanan itu menjauhi kawasan, mereka berhenti di kawasan selamat untuk menenangkan diri sebelum meneruskan perjalanan pulang.
"Ini pertama kali kami berdepan keadaan seperti ini.
"Sebenarnya kami sudah maklum ini kawasan gajah melintas dan sudah buat persediaan secukupnya untuk berhenti, tidak mengeluarkan bunyi atau menyalakan lampu sekiranya terserempak.
"Walaupun cemas, kami bersyukur kerana semuanya selamat, hanya kereta yang mengalami kerosakan kemik di bahagian depan," katanya.
Pada Sabtu, tular beberapa rakaman video di media sosial menunjukkan gangguan sekumpulan tujuh ekor gajah ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.
Menerusi rakaman tersebut, kumpulan gajah itu dilihat bertindak mengerumuni, menggesel dan menggoncang kenderaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

