Waspada kehadiran gajah, jangan provokasi

GERIK - Pengguna di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik ke Jeli diminta sentiasa berwaspada dengan kehadiran gajah yang sering berkeliaran di kawasan itu sepertimana rakaman video tular.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pengguna sama sekali tidak digalakkan melakukan provokasi dengan membunyikan hon dan memasang lampu tinggi kerana tindakan itu boleh membahayakan diri.
"Sekiranya terserempak, pengguna perlu menjauhkan diri dari haiwan berkenaan dan mengambil langkah-langkah keselamatan.
"Tindakan boleh dilakukan termasuklah memberhentikan kenderaan dan membiarkan kumpulan gajah tersebut melintas," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Terdahulu tular beberapa rakaman video di media sosial menunjukkan gangguan sekumpulan tujuh ekor gajah ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 petang pada Sabtu di laluan Gerik-Tasik Banding.
Menerusi rakaman tersebut, kumpulan gajah itu dilihat bertindak mengerumuni, menggesel dan menggoncang kenderaan tersebut.
Berdasarkan perkongsian pengguna jalan raya lain, tindakan gajah tersebut menyebabkan bahagian hadapan kereta itu kemek, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, setakat ini, polis tidak menerima apa-apa laporan berkaitan kejadian tersebut daripada mangsa terlibat.
"Pihak polis belum dapat memastikan dan mengesahkan lokasi sebenar kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!