Budak tabur kayu, paku dan batu di jalan raya

Objek tajam antara yang ditabur di atas jalan raya Jalan Semporna-Tawau.
Objek tajam antara yang ditabur di atas jalan raya Jalan Semporna-Tawau.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang kanak-kanak lelaki sengaja meletakkan objek tajam di jalan raya dan membahayakan pemandu menyebabkan kedua ibu bapanya dipanggil pihak polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang diterima daripada pengguna jalan raya.

"Menurut pengadu, pada jam 7.30 pagi Ahad, di Jalan Kilometer 20 Semporna-Tawau semasa dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau telah terlihat beberapa objek seperti batu, kayu dan paku di atas jalan.

"Objek tersebut dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada kemalangan yang berlaku terhadap pengguna jalan raya dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, dalam kejadian itu pengguna jalan raya termasuk pengadu dan juga pemandu bas pelancong bertindak membuang objek tersebut dari jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Siasatan dijalankan mendapati objek tersebut dibuang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan dengan tujuan suka-suka.

"Ibu bapa itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk diberi nasihat supaya mengawasi anak masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!