PGA rampas anak pokok seludup bernilai RM342,000

PGA Pengkalan Chepa merampas anak pokok kelapa, rambutan dan kemboja bernilai RM342,000 dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu.
PGA Pengkalan Chepa merampas anak pokok kelapa, rambutan dan kemboja bernilai RM342,000 dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas anak pokok kelapa, rambutan dan kemboja bernilai RM342,000 dalam dua serbuan berasingan di sini pada Sabtu.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan pada jam 3 petang apabila pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Kampung Telaga Bata di sini.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 1,200 anak pokok kelapa dan rambutan yang bernilai RM212,500 dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram tanpa dokumen sah.

"Kesemua tumbuhan terbabit disyaki mempunyai penyakit dan serangga perosak. Kami turut menahan dua lelaki berusia 37 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tumbuhan terbabit ke pasaran tempatan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Batalion 8 turut berjaya merampas pelbagai anak pokok bunga kemboja bernilai RM129,500 di Kampung Chabang Empat di sini.

Ujarnya, tangkapan dilakukan pada jam 4 petang ketika menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurut Nik Ros Azhan, pokok bunga kemboja terbabit dipercayai diseludup dari Thailand dan mempunyai serangga perosak serta penyakit.

"Kami turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tanaman terbabit ke pasaran tempatan.

"Kedua-dua kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5 dan kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!