Ajar anak ketawa setiap kali dengar bunyi bom

Rakaman video memaparkan telatah al-Mohammed dan Salwa meraih tontonan lebih dua juta di media sosial. - Foto AFP
Rakaman video memaparkan telatah al-Mohammed dan Salwa meraih tontonan lebih dua juta di media sosial. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Seorang bapa di Syria mengajar anak perempuannya ketawa apabila mendengar bunyi pesawat dan letupan.

Abdullah al-Mohammad menjadikan insiden letupan bom sebagai satu 'permainan' untuk mengurangkan rasa takut pada Salwa yang berusia 3 tahun susulan konflik semakin meningkat di wilayah Idlib.

"Adakah ia bunyi pesawat atau mortar?" tanya al-Mohammad kepada anaknya.

"Mortar," jawab kanak-kanak itu.

"Apabila ia datang, kita ketawa," katanya sambil disambut senyuman si comel terbabit.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial dan telah ditonton lebih dua juta kali menunjukkan Abdullah bersama anaknya kelihatan seronok bermain 'permainan' tersebut.

Telatah dua beranak itu turut dibandingkan dengan filem arahan Roberto Benigni berjudul Life is Beautiful yang menunjukkan seorang bapa cuba menenangkan anak lelakinya di sebuah kem tahanan Nazi.

Difahamkan, al-Mohammad bersama anak perempuannya kini tinggal di rumah rakannya di bandar Sarmada di Idlib selepas mereka terpaksa meninggalkan kediaman di Saraqib akibat perang saudara berterusan di Syria.

Artikel Berkaitan:

"Terlalu banyak kejadian pengeboman. Kanak-kanak menderita masalah psikologi kerana pengeboman tersebut. Saya cuba cari cara untuk menjadikan ia sebagai sumber kegembiraan dan bukan ketakutan kepada kanak-kanak.

"Saya ajar Salwa ketawa setiap kali dengar bunyi bom dan dia menganggap ia sebagai senjata mainan," lapor The Independent memetik kenyataan al-Mohammad.

Sejak Disember lalu, kira-kira 700,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari Idlib selepas rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad melancarkan operasi ketenteraan di wilayah tersebut. - Agensi