Rashid Sidek jelajah cari empat pemain badminton terbaik

Peserta uji bakat Rashid Mencari Juara bagi Zon Timur diadakan di Telipot, Kota Bharu. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Peserta uji bakat Rashid Mencari Juara bagi Zon Timur diadakan di Telipot, Kota Bharu. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek menjelajah negeri ke negeri bagi mencari empat pemain badminton terbaik melalui Program Realiti Rashid Mencari Juara untuk mengikuti latihan profesional dan eksklusif bersama beliau di Kelab Badminton Rashid Sidek (KRS).

Beliau yang juga pengetua dan penasihat program itu berkata, pencarian bakat remaja berusia 16 hingga 17 tahun itu dilakukan dalam kalangan mereka yang mempunyai asas, latar belakang badminton selain berpengalaman serta pernah menyertai kejohanan peringkat sekolah, Majlis Sukan Sukan Daerah, Majlis Sukan Sekolah Malaysia atau seumpamanya untuk digilap sebagai pemain profesional.

Rashid Sidek. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Rashid Sidek. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Ujarnya, usaha terbabit lebih kepada matlamat untuk mengangkat kembali sukan badminton negara seiring perkembangan arena bola sepak.

“Rashid Mencari Juara ialah program realiti badminton pertama dan juga projek rintis mencari 12 pemain berbakat di seluruh negara yang akan menjalani latihan intensif bersama saya serta tiga lagi jurulatih lain melalui Kem Badminton di Pusat Sukan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor selama sebulan.

“Pemain akan berdepan perlawanan dan hanya empat terbaik akan dipilih serta diberi peluang mengikuti latihan profesional lagi eksklusif bersama KRS,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Uji Bakat Rashid Mencari Juara bagi Zon Timur di Telipot di sini pada Ahad.

Beliau mengulas, hampir 100 peserta menyertai uji bakat setakat ini membabitkan Zon Utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis manakala Zon Timur melibatkan peserta dari Kelantan, Terengganu serta Pahang.

“Jelajah pencarian bakat seterusnya akan dilakukan bagi Zon Tengah merangkumi Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pada Selasa ini.

Artikel Berkaitan:

“Peserta akan dinilai bukan sahaja dari sudut kebolehan dan bakat bermain badminton tetapi turut akan diambil kira aspek semangat diri, kekuatan, ketahanan fizikal serta mental,” katanya.

Dalam pada itu, Penerbit TV Rashid Mencari Juara, Mohd Najib Jaafar menjelaskan, pergambaran program realiti pencarian bakat badminton itu bermula di peringkat uji bakat dan akan diprogramkan melalui 13 episod.

Katanya, selain Rashid, peserta program realiti terbabit akan mendapat bimbingan Ketua Jurulatih, Zakry Latif, Jurulatih Kedua, Ameer Amri Zainuddin dan Jurulatih Ketiga, Arif Latif.

“Pemain badminton, Syahmi Irfan juga penyanyi dan pelakon akan mengacarakan rancangan.

“Rashid Mencari Juara akan disiarkan menerusi saluran Sukan HD RTM dijangka pada Ogos ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!