Tiga penjenayah curi kereta, samun ditembak mati

Polis menembak mati tiga individu disyaki terbabit kegiatan samun dan curi kenderaan di Rawang tengah hari Sabtu. Foto Bernama
Polis menembak mati tiga individu disyaki terbabit kegiatan samun dan curi kenderaan di Rawang tengah hari Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

RAWANG - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati tiga penjenayah aktif dalam kegiatan mencuri kereta pacuan empat roda dan samun, selepas polis berbalas tembakan dengan penjenayah di Persiaran Kota Emerald, di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, modus operandi kumpulan penjenayah itu adalah menggunakan kereta sewa, sebelum menukar nombor pendaftaran kepada nombor palsu bagi menjalankan kegiatan jenayah.

Menurutnya, kumpulan itu sekali lagi menggunakan modus operandi sama pada Sabtu bagi melakukan jenayah dan pihak polis telah mengekori kumpulan itu untuk menahan mereka.

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama

"Polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menjalankan Op Lejang bagi memburu kumpulan penjenayah itu sejak dari tahun lepas cuba menahan mereka jam 12 tengah hari tadi (Sabtu).

"Namun suspek melepaskan tembakan dan melarikan diri sehingga sejauh 750 meter sehingga ke jejantas ke Persiaran Kota Emerald.

"Bagaimanapun, pihak polis berjaya menembak mati kesemua mereka di dalam kereta," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pemeriksaan di dalam kereta menemukan sepucuk pistol revolver, satu pistol semi auto dan dua unit peralatan menyahaktif penggera kereta.

Selain itu menurut beliau, pihak polis turut menemukan lima nombor pendaftaran disyaki palsu, dua bilah parang, satu paket kecil disyaki syabu serta bebera peralatan lain.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, dalam tempoh 18 hari pada tahun ini, sebanyak 17 kenderaan sudah dicuri iaitu empat kes masing-masing di Perak dan Negeri Sembilan, Melaka (5), Selangor (3) dan Pulau Pinang (1).

Kumpulan wartawan tiba di lokasi kejadian bagi membuat liputan polis menembak mati tiga penjenayah aktif dalam kegiatan mencuri kereta dan samun, selepas berbalas tembakan di Persiaran Kota Emerald, Rawang, Selangor pada Sabtu.
Kumpulan wartawan tiba di lokasi kejadian bagi membuat liputan polis menembak mati tiga penjenayah aktif dalam kegiatan mencuri kereta dan samun, selepas berbalas tembakan di Persiaran Kota Emerald, Rawang, Selangor pada Sabtu.

Beliau berkata, dua suspek yang ditembak mati berusia 40 dan 43 tahun dipercayai mempunyai rekod jenayah, manakala seorang lagi sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun mempunyai 24 rekod jenayah dan lima kes orang dikehendaki, manakala suspek berusia 43 tahun mempunyai 43 rekod jenayah dengan tujuh kes orang dikehendaki membabitkan satu kes Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta satu lagi kes jenayah.

Beliau berkata, hasil risikan serta siasatan mendapati suspek menjual kenderaan curi itu ke negara jiran dan sudah bergiat aktif sejak sekian lama.

"Modus operandi kumpulan itu, seorang daripada mereka akan meninjau terlebih dahulu kenderaan yang ingin dicuri dan seterusnya menggunakan peralatan untuk menyahaktifkan penggera kereta.

"Mereka hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk melakukan jenayah curi kereta," ujarnya.

Kata beliau, pihak PDRM masih menyiasat sama ada suspek menggunakan kereta sewa daripada pihak syarikat berdaftar atau individu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!