Remaja hilang di Cameron Highlands ditemui selamat di Kedah

Tan Joon Tien ditemui seorang lelaki di Kedah sebelum menghantarnya ke sebuah balai polis berdekatan.
Tan Joon Tien ditemui seorang lelaki di Kedah sebelum menghantarnya ke sebuah balai polis berdekatan.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di sini pada 28 Disember telah ditemui dan selamat kembali ke pangkuan keluarga pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, Tan Joon Tien, 14, ditemui seorang lelaki di Kedah sebelum menghantarnya ke sebuah balai polis berdekatan.

Menurutnya, lelaki terbabit menyedari mangsa remaja yang dilaporkan hilang selepas terbaca maklumat kehilangan itu di Facebook.

"Lelaki terbabit telah memaklumkan mengenai penemuan remaja berkenaan kepada keluarga sebelum dihantar ke sebuah balai polis untuk tindakan lanjut.

"Remaja terbabit telah diserahkan dan kini berada bersama keluarganya di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, pihak polis menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua warga maya yang sentiasa membantu.

Bagaimanapun beliau turut menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kehilangan remaja terbabit.

Polis sebelum ini meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan remaja lelaki itu yang dilaporkan hilang dari sebuah asrama yang dihuninya di Brinchang pada 28 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan remaja itu mengikuti kumpulan keagamaan di kawasan terbabit dan kali terakhir dia dilihat di sebuah rumah di Persiaran Oriental Lily 4, Taman Oriental, Tringkap, Cameron Highlands.

Laporan berkaitan kehilangan Tan Joon Tien, dibuat ibu saudaranya kira-kira jam 10 pagi 29 Disember lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!