Suspek bakar bilal ditahan

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Selepas enam jam, seorang lelaki yang dipercayai menyimbah minyak sebelum membakar seorang bilal dalam kejadian berdekatan Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat awal pagi tadi berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek berusia 40-an ditahan di sebuah flat kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mengalami masalah mental.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

"Soal siasat mendapati suspek mendakwa tidak suka dengan jemaah masjid kerana pernah memohon untuk mendapatkan bantuan, tetapi ditolak.

"Polis turut merampas sebuah motosikal, minyak petrol dan pakaian yang digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan lampau iaitu satu kes dadah dan satu kes jenayah.

Menurutnya, suspek juga dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat membakar peralatan masjid di kawasan Kota Setar pada Disember tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian awal pagi tadi, mangsa, Amri Budin, 65, yang merupakan bilal di Masjid Al-Hasanah, Taman Rakyat di sini melecur di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak sebelum dibakar individu tidak dikenali.

Mohd Rozi berkata, mangsa yang melecur kira-kira 25 peratus masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

ARTIKEL BERKAITAN: Bilal masjid dibakar lelaki bertopeng ketika hendak azan Subuh