AFC denda Natxo Insa RM22,500, Selangor FC RM110,000

Aksi Insa ketika JDT menentang Shandong pada November lalu. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS
Aksi Insa ketika JDT menentang Shandong pada November lalu. FOTO: JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) telah mengenakan denda AS$5,000 (kira-kira RM22,500) terhadap pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa.

Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC berkata, Insa, pemain tengah Harimau Selatan itu dikenakan tindakan tersebut selepas mempersoalkan integriti pengadil semasa ditanya pemberita pada 26 November lalu.

Insiden berlaku selepas Harimau Selatan tewas 0-1 kepada kelab China, Shandong Taishan dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite di Jinan.

“Insa, yang juga didapati bersalah kerana bertindak agresif, mesti membayar denda tersebut dalam tempoh 30 hari.

“Insa juga diberi amaran mengenai hukuman yang lebih berat bagi sekiranya mengulangi perbuatan sama selepas ini,” menurut jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, gergasi Liga Super, Selangor FC juga dikenakan denda AS$24,500 (kira-kira RM110,000) selepas gagal mengawal penyokong.

Insiden berlaku semasa aksi Kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Oktober lalu.

Menurut jawatankuasa itu, Selangor gagal mematuhi peraturan keselamatan sedia ada dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan sebelum dan semasa kemenangan 2-1.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuk memastikan undang-undang dan ketertiban di stadium dan sekitarnya, serta memantau dan mencegah paparan sepanduk yang dilarang.

“Penyokong Selangor juga telah memaparkan sepanduk besar yang mengandungi mesej dan imej yang menghina, berunsur agama, atau politik semasa perlawanan dan kelab itu juga didenda kerana menyebabkan kelewatan selama tiga minit 25 saat pada permulaan babak kedua perlawanan,” jelas jawatankuasa tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!