Berjaya gesa syarikat tempatan sertai konsortium projek HSR

KLANG - Berjaya Corporation Berhad (Berjaya) menggesa syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada konsortium bagi projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan berkata, ia berikutan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang telah menamatkan perjanjian kerjasama.
"Satu lagi kumpulan besar mungkin masuk. Kami tidak tahu siapa yang akan menyertai kami.

"Kami akan berunding dengan mana-mana pihak yang berminat. Kami lebih suka mempunyai (syarikat) Malaysia," katanya ketika ditemui selepas melawat Pulau Ketam di sini pada Jumaat.
Sebelum ini dilaporkan, MRCB mengumumkan telah menarik diri daripada konsortium MyHSR yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, konglomerat itu memberitahu, perjanjian berpasukan berkenaan tamat selepas 30 hari daripada tarikh Notis Penamatan dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Vincent berkata, keputusan kerajaan mengenai projek tersebut mungkin dihidupkan semula jika terdapat penyertaan penuh sektor swasta.
"HSR itu mahal. Apa yang kerajaan buat betul. Ia melihat keadaan kewangan negara. Jadi kerajaan yang bertanggungjawab akan melakukan usaha wajarnya dengan berhati-hati dan bukan hanya membelanjakan (wang).
"Ia sebaliknya akan menilai dengan baik dan mempertimbangkan keperluan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!