Pembatalan projek HSR: Rayuan lelaki untuk hidupkan semula saman ditolak

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menolak rayuan seorang lelaki untuk mengembalikan semula samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat yang lain, termasuk dua bekas Perdana Menteri, berhubung pembatalan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Supang Lian, dalam keputusan sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perkara itu tidak boleh diadili.
Beliau yang bersidang bersama hakim Datuk Zaini Mazlan dan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, memutuskan tiada sebab yang munasabah untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan, dan tidak membuat arahan mengenai kos.
Mohd Hatta Sanuri, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membatalkan samannya terhadap kerajaan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Pada 15 Disember 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu, dan kemudiannya Mohd Hatta mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Pada 30 Disember 2022, Mohd Hatta memfailkan saman itu bagi pihaknya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terjejas akibat pembatalan projek itu, dengan menamakan kerajaan, Mahathir, Muhyiddin, Mustapa Mohamed dan Ka Siong sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan pembatalan projek itu sebagai tidak sah, serta semua defendan membayar pampasan RM1 juta kepadanya dan semua rakyat Malaysia kerana telah secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.
Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350 kilometer setelah kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.
Projek itu dijangka menyediakan tiga perkhidmatan utama, iaitu perjalanan terus antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, perkhidmatan domestik di Malaysia dan perkhidmatan ulang-alik dari Iskandar Puteri (Johor) ke Singapura.
Pada prosiding Khamis, peguam Mohaji Selamat mewakili Mohd Hatta, manakala Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin, Zetty Zurina Kamaruddin, Nur Ezdiani Roleb, Noridayu Md Kassim dan Syafiq Affandy Hasan mewakili kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!