ASSAR umum dividen interim 3.0 sen seunit

KUCHING - Amanah Saham Sarawak (ASSAR) pada Jumaat mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan kali ketiga pasca penstrukturan semula ASSAR ini akan melibatkan pembayaran sebanyak RM14.23 juta kepada 57,653 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2024.
"Sejak penstrukturan semula ASSAR pada akhir 2022, ASSAR terus mempamerkan peningkatan prestasi secara konsisten,” katanya semasa mengumumkan pengagihan dividen interim itu di sini.
Katanya, pada tahun lepas, beliau telah mengumumkan dua agihan dividen ASSAR iaitu dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit melibatkan jumlah agihan sebanyak RM11.7 juta pada 5 Januari 2024.
Abang Johari berkata, dividen akhir diumumkan sebanyak 3.5 sen seunit melibatkan jumlah agihan RM16.4 juta pada 5 Julai 2024.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen ASSAR sebanyak 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 apabila sebanyak RM28.1 juta telah diagihkan kepada pelabur.
"Saya difahamkan walaupun selepas dua kali agihan tersebut, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR terus mencatatkan peningkatan secara konsisten sehingga mencecah hampir RM1.14 seunit pada 31 Disember 2024, pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus berbanding RM1.09 pada separuh pertama tahun kewangan sebelumnya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!