Lima lori bawa daging babi sejuk beku seludup ditahan

JOHOR BAHRU - Polis menahan lima lori yang dipercayai membawa muatan daging babi sejuk beku tidak bercukai di sebuah jeti yang tidak diwartakan, di Kampung Teluk Kabung, Pasir Gudang, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, polis turut merampas sebanyak 664 kotak berisi daging babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM310,752 yang dipercayai diseludup masuk secara haram dari negara jiran.
Malah, hasil semakan, didapati tiga suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
"Selain merampas produk daging babi sejuk beku yang dipercayai tidak bercukai itu, polis turut menahan lapan individu melibatkan tujuh lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 26 hingga 59 tahun kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan daging babi sejuk beku secara haram ini.
"Selain itu, polis turut merampas sebuah bot fiber dan enjin serta lori yang dipercayai digunakan bagi mengangkut daging babi sejuk beku berkenaan yang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM853,000.
"Selain itu, wang tunai sebanyak RM37,168.70 turut dirampas dan menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,200,920.70," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1k(e) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!