MTBC tidak duduk diam

KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) akan terus mengambil langkah proaktif untuk melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.
Malah Presidennya, Datuk Mohd Najeeb Abdullah berkata, perancangan dan cabaran yang lebih besar juga ialah untuk meningkatkan lagi kualiti pemain sedia ada ke tahap tertinggi.
Beliau berkata, ia sudah lama dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan negara tidak ketandusan atlet profesional terbaik.
"Kita perlu lahirkan lebih ramai pemain boling untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Kita akan laksanakan kerana ia berada dalam perancangan persatuan. Insya-ALLAH kita akan saksikan bersama nanti.
"Kita juga perlu fikirkan bagaimana nak kekalkan standard atlet di peringkat antarabangsa. Kalau kita sudah menjadi juara dunia, saya fikir kita harus terus melahirkan lebih ramai lagi atlet yang sama setaraf dan kekalkan keupayaan mereka," katanya.
Kem boling negara meraih dua pingat emas pada Kejohanan Boling Piala Dunia menerusi perseorangan wanita dan berpasukan lelaki di Hong Kong baru-baru ini.
Mohd Najeeb menjelaskan kejayaan yang diraih itu adalah kesinambungan daripada pucuk kepimpinan terdahulu yang diterajui mendiang Datuk Dr PS Nathan.
Beliau yang dilantik sebagai presiden baharu MTBC September lalu memberitahu bahawa, perancangan tersebut dibuat secara bersama dan teliti.
"Saya berada dalam persatuan hampir 10 tahun dan perancangan ini dibuat secara rapi. Ia perancangan lama dan tiada sesuatu yang mencacatkan," katanya.
Justeru tambahnya, di sebalik catatan kejayaan yang dilakar atlet, persatuan akan meneruskan latihan terbaik yang diterapkan sejak dahulu lagi.
"Mereka akan terus diberi pendedahan di luar negara. Kejohanan dunia pada masa depan akan bertambah sengit. Latihan bersistematik yang kita lakukan sebelum ini akan terus diperkasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!