KRW sambar khidmat Irfan Bakti

KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) melantik pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih kelab dari pantai timur itu.
Pelantikan Irfan Bakti yang bukan nama asing dalam kalangan komuniti bola sepak negara itu diumumkan Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi pasukan.
“Kelantan Red Warrior FC secara rasmi mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih kelab.
“Pelantikan di buat selepas penilaian menyeluruh terhadap keperluan pasukan dan visi yang ingin dicapai. Irfan Bakti jurulatih berpengalaman lebih dari 30 tahun yang namanya tidak asing lagi di Malaysia ini.
“Irfan sebagai ketua jurulatih pasukan bertanggungjawab mengemudi skuad utama serta menerapkan falsafah permainan sejajar dengan identiti KRW FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod pengendali kelahiran Perak itu juga pernah menyarung jersi kebangsaan selain menjadi pemain pertahanan juga berpengalaman luas dalam mengendalikan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) seperti Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Felda United dan Kuching City.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!