'Saya hanya insan kerdil yang berkhidmat untuk rakyat' - Kor Ming

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan beliau sedia menerima teguran secara terbuka jika dirinya melakukan kesilapan.
Pengerusi DAP Perak itu berkata, era kerajaan yang tahu segalanya sudah berakhir kerana ramai rakyat di luar sana lebih bijak dan pandai daripada penjawat awam mahu pun menteri.
"Sebagai penjawat awam, kita perlu bukan hanya bersikap jujur dan ikhlas, tetapi apabila kita melihat sesuatu perkara yang tidak betul, kita harus ada keberanian untuk menegur.
"Saya, selaku insan kerdil yang berkhidmat untuk rakyat dan negara...sebagai menteri, sekiranya saya melakukan kesalahan dan kesilapan, maka kita perlu ada pembesar yang sanggup bercakap benar kerana kita harus mengambil iktibar daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya dalam Amanat Tahun Baharu 2025 di kementeriannya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, masalahnya ketika itu adalah tiada seorang pun pembesar atau pemimpin dalam kerajaan yang berani bercakap benar mengenai skandal 1MDB.
Katanya, perkara itu akhirnya menyebabkan seluruh rakyat Malaysia kini dibebani dengan hutang 1MDB yang terpaksa ditanggung bagaikan 'biawak hidup', sekurang-kurangnya sehingga tahun 2038.
"Jika skandal itu tidak berlaku, Malaysia boleh menjimatkan wang rakyat sebanyak RM50 bilion yang boleh digunakan untuk pembinaan pelbagai kemudahan awam seperti sekolah, hospital, masjid, surau, tadika, tandas dan banyak lagi.
"Sebab itulah, amat penting sekali saya berkhidmat di sini, bukan duduk di pejabat menteri menunggu orang untuk dilayan, tetapi saya di sini untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!