KPKT rangka 122 pelan tindakan bagi 2025 - Kor Ming

Kor Ming (kanan) melihat replika Kad Laporan KPKT 2024 yang diletakkan di ruang legar dewan kementerian semasa hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 pada Khamis. Turut sama timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu (kiri) dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib. Foto Bernama
Kor Ming (kanan) melihat replika Kad Laporan KPKT 2024 yang diletakkan di ruang legar dewan kementerian semasa hadir pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 pada Khamis. Turut sama timbalannya, Datuk Aiman Athirah Sabu (kiri) dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah merangka 122 pelan tindakan untuk dilaksanakan tahun ini, kata Menterinya, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah pindaan undang-undang berkaitan hukuman khidmat masyarakat terhadap pesalah yang melakukan kesalahan kecil seperti membuang sampah, pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar serta usaha melatih lebih ramai pakar subjek yang berkemahiran.

"Pada minggu lepas, Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga universiti termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi meningkatkan sistem pengurusan,” katanya dalam Amanat Tahun Baharu 2025 di sini pada Khamis.

Kor Ming berkata, kejayaan kesemua inisiatif terbabit bergantung kepada perancangan yang rapi, pelaksanaan yang efisien dan pelan komunikasi yang efektif.

Sementara itu, Kor Ming berkata, sebagai penjawat awam, kejujuran dan keikhlasan adalah kunci utama dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Apabila terlihat sesuatu yang jelas tidak betul, menjadi tanggungjawab kita untuk berani menegur dan memperbetulkan keadaan. Saya sebagai individu yang hanya berperanan kecil, namun berkhidmat demi rakyat dan negara, sedar bahawa saya tidak terlepas daripada kesilapan.

"Jika saya selaku menteri melakukan sebarang kesilapan, maka wajar untuk saya diperingatkan dan dikritik secara membina demi kebaikan bersama,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming berkata, kementeriannya komited untuk mencapai kecemerlangan pada 2025 menerusi penerapan konsep nilai "greater HEIGHTS”.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, konsep berkenaan menjadi teras motivasi bagi warga KPKT dalam menghadapi cabaran dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

Nilai ‘greater HEIGHTS’ merangkumi Humility (rendah hati), Ethics (etika), Integrity (integriti), Gung-ho (semangat kerja keras), Honesty (kejujuran), Teamwork (kerjasama), dan Success (kejayaan). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!